Di Kota Medan terdapat beberapa tempat mahupun pusat membeli-belah (shopping spree) yang memang sudah terkenal di kalangan para pelancong terutamanya daripada Malaysia.
Untuk makluman kepada sesiapa yang masih belum sampai ke Medan, tempat-tempat membeli-belah di Kota Medan tidaklah semeriah kalau dibandingkan di tempat-tempat lain seperti Bandung dan Bukit Tinggi.
Walaupun begitu, Kota Medan masih terkenal dengan barang tekstil (garmen) dan pakaian bermutu tinggi seperti kain pasang, telekung bersulam, baju kebaya, kain pelekat, batik, kain langsir dan sebagainya. Tempat-tempat begini memang semestinya menjadi tumpuan para ibu, wanita mahupun para peniaga.
Berikut susunan lokasi-lokasi membeli-belah di sekitar Kota Medan:
- Pasar Ikan Lama (Pajak Ikan)
- Gudang Hajah Mariani
- Jalan Wajir
- Jalan Hindu
- Pasar Aksara (Komples Membeli-Belah Ramayana)
- Pasar Petisah
- Pajak USU atau Pajus
- Fashion Outlet
- Medan Mall
- Hermes Place Polonia
- Medan Fair Plaza (Carrefour)
- Sun Plaza
Apa lagi, jom kita lihat tempat-tempat yang boleh dilawati:
Pasar Ikan Lama (Pajak Ikan)
Pasar tradisional dikenali dengan sebutan “pajak”. Antara faktor utama kenapa Pasar Ikan Lama menjadi tempat tumpuan pelancong adalah kerana pilihan barangan dan harga yang sangat berpatutan. Di sini terdapat rangkaian terkini telekung, tudung, kain batik, kain pelekat, baju, t-shirt, seluar batik, tali pinggang kulit, beg kulit, kasut dan banyak lagi di bazar-bazar di Pasar Ikan.